Friday, February 6, 2009

Pembangkang Lupa Misi 16 September 2008 - Malaysiakini

Siapa pun tidak akan lupa Misi 16 September seperti yang dicanangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan penuh rasa bangga beliau tanpa segan silu menyatakan peralihan kerajaan akan berlaku dengan sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat parti.

Pada ketika itu tidak kedengaran pun suara pemimpin parti pembangkang yang membangkitkan soal prinsip intergriti, menghormati suara rakyat sebaliknya mahu melihat kejayaan menubuhkan kerajaan “ikut pintu belakang” dapat direalisasikan secepat mungkin.

Tanpa perasan segan silu juga pembangkang turut menghantar wakil mereka untuk mengejar dan memburu ahli Parlimen BN ke Taiwan semata-mata untuk memastikan Misi 16 September mencapai kejayaan.

Setelah Misi 16 September gagal, pembangkang khususnya Anwar Ibrahim sendiri nampaknya terus tidak berputus ada kerana yakin kerajaan BN akhirnya akan dapat ditumbangkan juga. Dengan cara apa? Tidak lain tidak bukan lompat parti.

Malah Anwar sendiri secara terbuka mengakui menjalankan usaha melobi serta mengajak wakil rakyat BN untuk melompat parti bagi memenuhi impian peribadinya menjadi Perdana Menteri. Tindakan-tindakan ini dibuat atas nama rakyat kononnya. Itulah nada pembangkang. Kalau menguntungkan mereka itu atas nama rakyat tetapi kalau sebaliknya pembangkang akan menyalahkan kerajaan BN.

Begitulah demokratiknya pembangkang dalam soal hak demokrasi jika ia menguntungkan mereka. Nada pembangkang jelas berbeza apabila berdepan isu dua wakilnya di Perak yang dikatakan sudah melompat parti.

Ternyata belum pun dua wakil rakyat mereka iaitu dari Dewan Undangan Negeri Behrang dan Changkat Jering meninggalkan atau melompat parti hanya berbeza pendapat dengan kepimpinan, mereka rupanya telah diikat dengan 'surat kosong' perletakan jawatan. Adakah ini satu tindakan demokratik.

Malah, pelbagai usaha dibuat bagi mematikan’ kedua-dua wakil rakyat itu dengan berusaha untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Alasannya, perlu mendapat mandat rakyat. Lagi sekali rakyat dijadikan alasan. Dalam konteks demokrasi, pembangkang mahu dilihat sebagai jaguh mempertahankan prinsip demokrasi di negara ini, kononnya.

Namun jika itu ukuran pembangkang, kenapa tidak melaksanakan perkara yang sama di Bota apabila wakil rakyatnya iaitu Datuk Nasaruddin Hashim dari BN mengambil tindakan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR.

Kenapa pembangkang tidak mahu menggesa Nasharuddin meletak jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan untuk mendapat mandat rakyat. Adalah itu ukuran yang digunakan pembangkang dalam konteks demokrasi, hak dan kebebasan. Maknanya. apabila ada wakil rakyat melompat sertai mereka ia satu amalan demokrasi, hak dan kebebasan yang perlu dihormati.

Namun jika ada wakil mereka pula cuba untuk menyertai parti lain, mereka diikat dengan surat letak jawatan. Malah mana-mana wakil rakyat mereka yang beralih arah akan dilemparkan dengan pelbagai tohmahan seperti kononnya disogok, diculik, diugut dan sebagainya. Bukan setakat itu sahaja malah pembangkang juga akan mendesak satu pilihanraya kecil diadakan bagi mendapat mandat rakyat.

Inilah yang sedang berlaku di Perak apabila kerajaan pakatan tumbang. Sekali lagi atas nama rakyat pembangkang mahu Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan seterusnya satu pilihanraya kecil di negeri itu diadakan. Pembangkang mengatakan pembubaran ini adalah cara terbaik kerana ia lebih terhormat dan bersifat demokrasi.

Ketika ini pembangkang jelas lupa dengan Misi 16 September lalu. Alahai! Pembangkang.- PemudaUmno.org

No comments: